Friday, 22 February 2013

Teknik Melantik Penolong Guru

Teknik Melantik Pembantu Guru bagi Pengajaran Berkesan


Jumlah pelajar yang ramai atau padat di dalam kelas kadangkala menghambat keberkesanan guru dalam penyampaian Pengajaran dan Pembelajaran (P&P). Kenyataan ini lebih mencabar apabila mengendalikan Kelas corot atau Lemah dimana amat sukar guru memastikan mesej dan pemahaman murid merata ke seluruh murid. Pemahaman yang berbeza, pencapaian yang tidak seimbang menyaksikan wujud jurang di mana hasilnya :
Murid Corot di dalam Kelas Corot
Kelas Sesi Petang : 4 Iltizam

Inilah yang paling kronik dan kritikal. Pelajar ini merupakan golongan yang dipinggir dan dianggap tidak wujud di dalam kelas lantaran tahap kebolehterimaan yang rendah dan perlahan. Namun setiap cabaran ada solusi jawapan penyelesaiannya. 




Ya, teknik "Pembantu Guru" boleh diaplikasikan dalam hal ini bagi :


 
  • Meningkatkan Penguasaan "Murid Corot di dalam Kelas Corot"
  • Meningkatkan self-esteem / motivasi "Murid Pandai di dalam Kelas Corot"
  • Meningkatkan Gred Pencapaian Purata (GPA) kelas 
  • Memudahkan kerja guru agar guru boleh memfokuskan usaha pengajaran berkesan (Hehehehe... =)

Hadith rujukan: 'Pembela Nabi'
Sahabat  Nabi Muhammad yang bernama Jabir bin Abdillah melaporkan  bahawa pada hari berlakunya Perang Khandaq, Nabi Muhammad telah  mengumumkan panggilan perang, lalu Zubair bin Awam menyahut panggilan  perang itu. Selepas itu, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan  perang, lalu sekali lagi Zubair bin Awam menyahut panggilan itu.  Kemudian, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan perang, lalu  sekali lagi Zubair bin Awam menyahut panggilan itu.

Lalu Nabi Muhammad   berkata,
Sesungguhnya, tiap-tiap nabi mempunyai pembela, dan pembela  saya adalah Zubair.”
*Hadith nombor 1643 dalam kitab Ringkasan Sohih Muslim (Tim Hadith Psikologi)

 ----------------------------------------------------------------------------------

Ekstrak atau pengajaran yang diambil dari Hadith di atas ialah guru boleh dan digalakkan melantik individu-individu di dalam kelas bagi membantu tugasan P&P dan tugasan lain , malah ia memberi kesan psikologi si penerima jawatan sehingga ia berasa seronok dan dihargai di mata guru.


Ya, murid kelas corot sangat jarang dihargai oleh guru dan tidak dipandang langsung dari kaca mata sekolah dan ibubapa (kadangkala / seringkali).

Oh, saya yang baru belajar untuk mengaplikasikan Teknik Mendorong Pelajar Kelas Corot Gaya Nabi Muhammad hasil analisis Tim Hadith Psikologi,PTS adalah amat sukar untuk saya sendiri laksanakan kerana:
  1. Saya selaku guru amat sukar menyerahkan amanah pada murid kerana psikologi peribadi saya yang ingin membuat semua kerja sendiri
  2. Saya selaku guru seringkali meletakkan prestasi yang ideal (saya seorang perfectionist) yang sukar dicapai dan menganggap bahawa semua orang boleh mencapai sesuatu di luar jangkauan
  3. Saya selaku guru risau akan reaksi dan penolakan murid akan tangungjawab dan peranan yang akan diberikan pada mereka (rejection)
Namun, saya tekad untuk melihat pulangan hasil teknik ini dalam P&P saya.
"Hmmm..  apakah hasilnya?"
"Adakah prestasi murid akan meningkat?"
"Adakah sangakaan saya bahawa murid menolak jawatan sesuatu yang berasas?"
"Adakah P&P akan berjalan dengan baik?"
"Adakah murid yang diberi peranan akan semakin meningkat prestasinya?"

Maka oleh kerana saya selaku Guru Kelas bagi 2 Istiqomah (sesi Pagi) dan 4 Iltizam (sesi Petang) -sudah menjadi tangungjawab kami selaku guru kelas untuk memastikan murid-murid berjaya menghafaz suarh-surah tertentu pada durasi masa tertentu. Maka amat sukar memastikan keseluruhan murid berjaya menghafaz dan menyemak bacaan mereka seorang demi seorang lantaran kekangan masa. Perkongsian oleh Trainer Puan Khairulaniza Khairuddin dan Ustazah Siti Khadijah sudah lama saya perhati dan cuba fahami konsep dan tujuan.

Maka saya melantik beberapa orang yang baik dan bagus kadar kecepatan penguasaan hafazan untuk membantu saya..! "Penolong Guru Hafazan" .

Beberapa orang diberikan peranan dan ahli untuk dipantau dan dibimbing oleh murid itu sendiri kepada rakan sekelas sendiri. "Murid tolong murid"

Hasilnya, tidak mengecewakan malah prestasi purata hafazan keseluruhan kelas semakin meningkat.
Penolong Guru Hafazan sedang MENOLONG rakan sekelas bagi menghafaz surah.                                                                             (Membaca: Daniel, Penolong Guru:Hakimi, Pemerhati:Haziq)




 Oh, sangkaan bahawa murid menolak tangungjawab adalah meleset sama sekali.
Rupanya, memang fitrah manusia untuk suka akan menolong, maka apabila rakan sekelas jauh ketinggalan -- rakan sekelas lain sudi membantu agar sama-sama berjaya..!

Daniel semakin cepat mengejar hafazan
Hakimi semakin bertambah baik dan bagus hafazan serta setia menolong rakan sekelas.
Haziq yang sedikit culas menghafaz juga terdorong sama apabila melihat rakan berjaya.
Saya tersenyum gembira dan memuji usaha mereka dengan memberikan markah 1/2/3 bintang untuk prestasi mereka.

Alangkah indahnya hidup ini,
Jika kita saling bantu membantu
Penolong Guru di kelas corot ini
Menghafaz surah maju dan maju
-----------------------------------------------------------------------------------------------------
*Perkongsian kisah adalah bagi memberi idea dan peluang bagi pendidik/ibubapa di luar sana akan keberkesanan Teknik Mendorong Gaya Nabi Muhammad.
22/02/2013 @Setapak

Friday, 8 February 2013

Kreatif : Impak Pujian Pada Kreativiti

Kreatif : Impak Pujian dalam Kreativiti

Salam sejahtera semua,

Tulisan kali ini adalah respon atau manisfestasi dari perkongsian sifu Puan Khairulaniza mengenai "Menaikkan self-esteem anak dengan Teknik Memuji Gaya Nabi Muhammad". Buat pengetahuan semua, Puan Khairulaniza adalah pengamal dan jurulatih / trainer bagi modul "Mendorong Pelajar Corot Gaya Nabi Muhammad" oleh PTS. Seorang guru juga ibu yang prihatin pada anak-anaknya.

Buku hasil ujikaji guru-guru ini boleh dirujuk pada buku di atas. Pautan (link) bolehlah ke : Buku Fizikal “Mendorong Pelajar Corot Teknik Nabi Muhammad"  . Para pembaca blog sudah maklum bahawa saya juga sedang cuba belajar dan mengamalkan teknik ini dalam kehidupan seharian selaku guru di sebuah sekolah rendah agama di ibukota.

Penulisan ini adalah bagi membicarakan "Kreativiti"

Kreatif atau kreativiti adalah menghasilkan idea-idea baru. Inovasi pula mengolah idea-idea sedia ada ke bentuk baru. Malah ia merupakan suatu yang dilaung-laung malah dijadikan antara dasar pendidikan negara sejak sekian lama. Namun ia tidak pula dapat direalisasikan dengan baik. Malah betapa besarnya ia sehingga dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Tun Razak bahawa tahun baru 2010 -"Tahun Kreativiti dan Inovasi"

Kemampuan berfikiran kreatif seringkali dikaitkan dengan pemikiran di luar kotak "thinking outside the box" . Saya juga pernah mentelaah beberapa buku falsafah pendidikan yang agak berat. Hehehe.. Sinopsis rumusan buku-buku berkenaan ialah :
"Jika anda ingin anak anda kreatif, jangan hantar mereka ke sekolah. Sekolah memBUNUH kreativiti anak-anak anda"

 Kenyataan yang kasar dan keterlaluan mungkin. Namun mungkin ada benarnya. Dahulu kanak-kanak menggunakan imaginasi bagi bermain. Tiada permainan yang dibeli menghasilkan kanak-kanak dahulu menggunakan sumber alam bagi bermain.
Daun-daun dan kertas dijadikan permainan masak-masak atau pondok-pondok
Ranting pokok dijadikan senapang untuk main askar-askar,
Tanah liat dibentuk menjadi patung miniatur

Namun bila kanak-kanak yang serupa mula memasuki alam persekolahan sesuatu yang pelik berlaku. Kreativiti mereka terhenti. Mereka dilarang bereksplorasi atau bereksperimen. Idea baru dan pelik seakan  suatu dosa. Jawapan yang standard mula ditetapkan. Ya, semua mesti ikut skema jawapan. Jawapan yang lain tidak akan dilayan. Pihak tertentu menamakan ia sebagai proses "Penyeragaman pemikiran" . 

Maka bagaimanakah caranya bagi kita memastikan anak-anak terus dengan kreativiti dan imaginasi?! Bagaimanakah cara bagi memastikan kreativiti anak-anak terus berkembang subur?!%$#
  •  Teknik Pujian Gaya Nabi Muhammad merupakan satu solusi jawapan yang menarik.

  • Teknik Menutup Mata Pada Kesalahan sebaliknya Memuji Kebaikkan 

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sokongan dan dorongan, pujian menggalakkan eksplorasi dan eksperimen. Saya yakin sistem pendidikan juga perlu menyediakan medium yang subur bagi kanak-kanak mengembangkan bakat.Kita mahukan manusia yang unik bukan robot yang seragam.
Teringat suatu ketika dulu, ada seorang murid tahun 1 melukis gambar gajah atas arahan saya. Kanak-kanak itu menghasilkan gajah yang terlalu unik iaitu berbeza. Sangat-sangat berbeza. Seluruh kelas melukis gambar gajah yang serupa seperti yang ada dalam minda kita semua. "Gajah yang berwarna kelabu dan memakan tebu". (Entah kenapa gajah makan tebu?! Saya pun tak pasti. Namun ia adalah gambaran majoriti di minda separa sedar) 
Cuma seorang kanak-kanak saja melukis gambar yang sangat pelik. Saya ulang SANGAT PELIK. 
Malah mungkin jika ditunjukkan lukisan berkenaan pasti ramai yang gagal meneka bahawa ia gambar gajah. Ia adalah lukisan "Cubist" atau "Cubisme" sepertimana lukisan popular tokoh Picasso.Saya meminati lukisan maka saya ada sedikit maklumat ini.
Lukisan cubist adalah lukisan berbetuk poligon sebagai asas. Ia memang pelik.
Oleh kerana saya tidak mempunyai gambar lukisan itu, memadailah gambar yang hampir serupa saya kongsikan bagi mewakili lukisan murid berkenaan. Berikut adalah lukisan yang hampir serupa :
Memula rasa nak komen :
"Kenapa gajah awak pelik" (SALAH)
"Gajah awak tak macam gajah lain pun?" (SALAH)
"Eh, awak tak pernah tengok gambar gajah ker?"(SALAH)
"Semua orang lukis hampir serupa, apa hal awak punya pelik bebenor?"  (SALAH)
                                
Lantas saya diam, terfikir.
------------------------------------------
Komen negatif di atas adalah punca kreativiti musnah / pupus.

Lalu saya komen
"Cantik, ustaz suka lukisan awak yang unik. Ustaz bagi markah istimewa untuk itu"
Saya berikan dia A+++ (markah bonus) sebagai penghargaan.   
Itulah markah tertinggi yang saya berikan di dalam kelas berkenaan.
*Gambar dari Blog / FB Puan Khairulaniza . Terima kasih.
 --------------------------------------------------------------------------------------------------------
Maka apabila saya terbaca perkongsian oleh Puan Khairulaniza, saya teringat kisah ini. Heheheh
Inilah impak pujian dalam Kreativiti.

**Anak murid saya menggunakan pelbagai warna termasuk warna PINK bagi gajah berkenaan. Saya masih ingat hingga ke hari ini. =)

Sunday, 3 February 2013

Poster 1 : Teknik Mendorong Pelajar Corot Gaya Nabi Muhammad : Ringkasan

Poster : Mendorong Pelajar Gaya Nabi Muhammad

Berikut ialah hasil ringkasan berdasarkan pemahaman saya mengenai Teknik Mendorong Pelajar Corot Gaya Nabi Muhammad. Harap perkongsian ini memberikan pemahaman jua buat para pembaca.


Umumnya dua pendekatan :
  1. Pendekatan Gaya Nabi Muhammad oleh kajian Tim Hadith Psikologi
  2. Pendekatan Tradisi iaitu pendekatan lazim di yang diamalkan di sekolah(Teori Pavlov, Skinner dll)


Poster ini menerangkan bahawa perbezaan perspektif adalah asas bagi mengubah teknik tradisi yang sehingga ini  kurang berjaya mendidik pelajar corot samada dengan marah, hukuman, sindiran, putus harapan berbanding teknik Nabi yang memuji, melihat kebaikan dan meletakkan harapan dan doa buat semua.

Selamat berkongsi :


Mohd Haidhir Md Yusof
3 Februari 2013 : 8.10pm @Setapak

Friday, 1 February 2013

Teknik Mendorong Pelajar Corot Gaya Nabi Muhammad : 5

Teknik Panggilan Kesukaaan :


Minggu lalu saya cuba mengaplikasikan "Teknik Memanggil NamaYang Disukai" atau ada yang dikenali sebagai "Nama Kegemaran" . Teknik Memanggil Nama Yang Disukai adalah bagi menaikkan self-esteem, keyakinaan, minat, perhatian para pelajar.


Jika ditelusuri sirah Rasulullah maka kita akan dapati bahawa junjungan mulia Rasulullah sentiasa memanggil nama dengan panggilan yang istimewa dan disukai. Tiada panggilan atau gelaran menghina yang dikenakan pada mana-mana individu. Panggilan menghina dan merendah-rendah hanya mendatangkan keburukan dari kebaikkan.

"Si Lembab"              (SALAH)
"Oii.. Syaitan / Setan (SALAH)
"Ahmad Lembu"        (SALAH)


Para peneliti sirah dan para muslim semua pasti sudah biasa dengan gelaran yang diberikan kepada para sahabat seperti :
"Khalid al-Walid Saifullah  (BETUL)
(Khalid Si Pedang Allah) -Pejuang dan penegak agama

"Saidina Umar al-Faruq  (BETUL)
(Umar Si Pembeza / Umar Si Pemisah) -Penegas hak dan batil

"Hamzah asad Allah (BETUL)
(Hamzah Singa Allah) -kegarangan dan keberanian menentang para kafir


"Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertobat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim" (Hujuraat 49:11)


Oh, agak lewat juga saya mengaplikasikan teknik ini. Walaupun sesi persekolahan sudah hampir 4 minggu berlangsung. Ini disebabkan ura-ura bahawa akan ada perubahan senarai nama murid ekoran kekurangan dan kedatangan guru baru. Maka saya mengambil sikap untuk tunggu sehingga ia sudah pasti. Maka pada minggu lalu barulah selesai jadual kelas, senarai murid serta kedudukan kelas.

Oh, juga sayugia diperingatkan bahawa saya amat sukar mengingati nama. (Saya agak lemah bab-bab nama, nombor.. heheheh )

Maka saya cuba gunakan teknik ini setelah yakin dan diperkukuhkan pemahaman akan Teknik Mendorong Pelajar Corot Gaya Nabi Muhammad oleh tidak lain dan tidak bukan dari sifu tersohor  Ustazah Siti Khadijah dan Ustazah Engineer Nurul Hidayah melalui kesempatan semasa saya berkelana dengan keduanya ke Alor Setar, Kedah pada 26Januari lalu. Malah lebih hebat apabila Tuan Asyraf Hafdzan sempat membuat tutorial "1 to 1" kepada saya. Heheheh jangan jeles... ! Alhamdulillah, Allah jualah sebaik-baik Pemberi Nikmat.

Saya masuk ke kelas 2 Istiqomah (sesi pagi) dan selepas ucapan salam, doa serta mencatat kedatangan saya memulakan bicara. Saya memohon para murid untuk memikirkan atau memilih nama yang ingin saya selaku guru memanggil mereka. Malah, nama ini juga akan dipanggil oleh rakan sekelas. Saya terangkan peraturan ini untuk semua agar mereka memahami.

Pada peringkat awal, murid-murid agak bingung atau keberatan mungkin kerana ia diluar kelaziman.
 Ya, lazimnya guru akan memanggil nama murid atau singkatan nama tanpa berbincang atau tanpa kebenaran murid.
Namun saya jelaskan bahawa ia bagi kegunaan saya selaku guru kelas (ustaz) dan untuk panggilan rakan-rakan maka mereka memberi kerjasama. Maka hasilnya kali ini; nama-nama singkatan yang biasa-biasa sahaja. Tiada yang pelik :

Qaisara Najla mahu dipanggil "Sara"
Muhammad Zul Faiz mahu dipanggil "Zul Faiz"


Ini mungkin kerana mereka masih kecil (tahun 2), jadi mereka masih malu-malu agaknya. Cuma ada dua nama yang pelik dalam kelas ini yang agak jauh dari nama sebenar.

Darwish Haikal mahu dipanggil "Aaron"

Ya, nama itu berkaitan dengan Aaron Aziz. Ini mengikutnya bahawa dia ingin menjadi hensem dan macho semacho Aaron Aziz aka Adam Hawa. Hhehehe.. saya ikutkan saja walaupun tergelak kecil di dalam hati.
Oleh kerana nama itu pilihannnya dan beliau menggemarinya maka saya dan rakan sekelas memulakan memanggilnya "Aaron"

Aleya Munira mahu dipanggil "Kyra"

Maka saya terima nama berkenaan atas keinginannya.  Oh, beliau memiliki kembar dan kedua-dua kembar ini berada di dalam kelas saya. Kembar seiras pula. Bagus juga nama ini bagi saya membezakan kedua-duanya agak saya tidak tersalah sebut di masa hadapan. Hheeh..


Teknik Nama Panggilan :
  • Panggilan Nama diberikan oleh Murid Sendiri
  • Panggilan Nama juga boleh diberikan oleh Guru bagi memberi gelaran yang baik
      •  Nanti dalam entri lain akan dikongsikan
  • Tiada panggilan berunsur penghinaan ataupun yang tidak digemari
      • Budak sekolah kadangkala memperolok nama ayah pelajar (WAJIB Dibanteras..!)
 -----------------------------------------------------------------------------------------------------


 

 *Hiasan : Gambar Hadiah dari Murid

 Terima kasih muridku Zul Faiz, semoga terus berusaha menjadi muird yang soleh.

ps: Nampaknya saya berjaya membuang imej SINGA .. Hehhe



*Perkongsian kisah adalah bagi memberi idea dan peluang bagi pendidik/ibubapa di luar sana akan keberkesanan Teknik Mendorong Gaya Nabi Muhammad. Serius, ia mudah dan praktikal
3/02/2013 @Setapak